Dalam kehidupan kita sebagai seorang hamba, perlu mengikut kepada landasan dan peraturan Pencipta kita iaitu Allah Yang Maha Esa. Bagaimana ingin menjadi hamba yang terbaik kepada Yang Maha Esa? Maka, perlulah kepada ilmu, bimbingan dan panduan daripada Al-Quran dan As-Sunnah serta para ulama' dan murobbi.
Begitu juga kita, jika ingin menjadi seorang penterjemah yang baik. Perlukan ilmu dan syarat bagi tujuan tersebut. Terdapat 4 syarat utama seorang penterjemah iaitu:
1. Mengetahui Bahasa Sumber:
Bahasa sumber merupakan bahasa asal yang akan diterjemah kepada bahasa lain, iaitu bahasa kedua. Seseorang penterjemah perlu menguasai bahasa sumber dengan mendalam dari pelbagai sudut. Ia termasuklah dari segi gaya bahasa, keganjilan dan keanehan bahasa tersebut, sehinggalah kepada keistimewaan bahasa yang terdapat dalam bahasa sumber tersebut. Ia amat penting untuk memahami dengan baik kerana ia akan menentukan makna dalam terjemahan sesuatu bahasa yang akan diterjemah dan memberi kesan terhadap terjemahan bahasa kedua yang akan disampaikan.
2. Mengetahui Bahasa Penerima:
Bahasa penerima adalah bahasa yang akan diterjemah daripada teks asal. Untuk menjadi penterjemah yang baik, mereka juga perlu menguasai bahasa kedua atau bahasa penerima dengan baik. Ini penting supaya mereka dapat menterjemah dengan bahasa yang tepat dan dapat difahami dengan baik oleh penerima.
3. Berpengetahuan Dalam Bidang yang Diterjemah:
Perkara ini sangat dititikberatkan dalam bidang terjemahan. Ini kerana, terdapat bidang-bidang tertentu yang menggunakan istilah-istilah dan terma-terma yang dikhususkan dalam sesuatu bidang tersebut. Seperti bidang kedoktoran, sains dan teknologi, bidang undang-undang dan bidang kesusateraan. Bidang-bidang ini memerlukan seseorang penterjemah yang mahir dan berilmu pengetahuan yang luas dan mendalam, agar bahasa yang digunakan nanti adalah tepat dengan apa yang ingin disampaikan kepada bahasa penerima.
4. Mengetahui Teori dan Amalan Terjemahan:
Seseorang yang ingin menceburi bidang penterjemahan ini, seharusnya terlebih dahulu mengetahui tentang teori dan amalan terjemahan yang baik, sebelum menceburi bidang terjemahan ini. Ini kerana, bidang terjemahan ini mempunyai teori dan kaedah ilmiahnya sendiri. Seseorang penterjemah harus mendalami dan memahami apakah teori dan amalan terjemahan sebelum dengan serius menjadi seorang penterjemah yang baik dan disegani.
Secara peribadi, sebelum saya mengambil kursus ini, saya fikir untuk menjadi seorang penterjemah ini adalah mudah dan boleh dilakukan secara santai. Namun, setelah mempelajari ilmu berkaitan penterjemahan ini, ia merupakan suatu bidang yang berat, kerana ia perlu dilakukan dengan penuh penelitian dan seharusnya mempunyai kesabaran yang tinggi bagi menyelesaikan sesuatu terjemahan tersebut. Ini kerana, sesuatu perkataan dan bahasa yang kita gunakan, memberi pengertian yang sangat bermakna kepada mereka yang membaca dan memahami. Seorang penterjemah juga perlu berlaku jujur dalam penterjemahan beliau, agar ilmu itu dapat disampai dan disebar luaskan dengan pemahaman yang betul dan tepat.
Sa'adatul Firdaus binti Khairollah
GB03785